Monday, July 5, 2010

Mahasiswa/i Bersama Rakyat Membantah GST, Cukai Yang Memiskinkan Rakyat

Tahun 2010; Dunia dan negara masih belum keluar dari kemelut Krisis Ekonomi yang melanda kita tahun lepas. Ramai mahasiswa/i dan pekerja yang masih belum mendapat kerja, ditambah pula dengan masalah rumah di lelong, harga barangan naik dan melalui keadaan dimana, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam keadaan ini, Kerajaan Malaysia hendak mengimplementasi Cukai GST iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Dalam keadaan 80% rakyat Malaysia tidak bayar cukai sebab pendapatan mereka kurang dari RM 3000, kerajaan Malaysia hendak memaksa semua rakyat tidak kira tua, muda, kurang upaya, pelajar, miskin, kaya, semua orang untuk membayar cukai.

Alasannya, defisit kerajaan perlu dikurangkan dan pendapatan negara harus ditingkatkan. Namun, persoalannya adakah rakyat punca defisit kerajaan? Pastinya tidak. Punca defisit kewangan kerajaan ialah korupsi, penyalahgunaan kuasa, projek yang tidak bermaanfaat, bail out, politik wang dan pembaziran. Semua ini bukan dilakukan oleh rakyat biasa, tetapi pemimpin kerajaan dan kroni-kroni mereka. Maka kenapa pula rakyat perlu menanggung akibatnya? Bukankah kerajaan adalah untuk rakyat dan bukannya sebalik?

Mengikut laporan Model Ekonomi Baru, Malaysia adalah sebuah negara yang berpendapatan rendah dimana 80% rakyat mendapat pendapatan RM 3000 dan 40% daripada mereka mendapat pendapatan RM 1500 sahaja sebulan. Dalam laporan ini juga dikatakan jurang diantara kaya dan miskin di Malaysia semakin melebar. Mengikut laporan UNDP 1997 dan Laporan United Nations Human Development 2004, Malaysia mempunyai jurang pendapatan yang tertinggi di Asia Tenggara, lebih daripada Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia. Laporan ini mengatakan, 10% orang kaya di Malaysia mengawal 38.4% kekayaan negara manakala 10% yang termiskin hanya menikmati 1.7% kekayaan negara.

Dalam keadaan ini, adakah patut Cukai GST yang membebankan rakyat diperkenalkan? Bukankah Cukai GST akan miskinkan rakyat kerana rakyat perlu bayar cukai untuk segala barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang diguna? Lagipun dengan pengenalan cukai GST, sudah tentu harga barangan akan meningkat dan akan membawa kepada inflasi. Walaupun kerajaan kata harga barangan tidak akan naik, tetapi pengalaman negara lain menunjukkan ia tidak benar. Rancangan kerajaan adalah untuk melaksanakan Cukai GST dan mengurangkan cukai pendapatan individu dan syarikat. Adakah ini sesuatu yang adil dalam negara dimana 80% penduduknya tidak mampu membayar cukai? Bukankah ini satu tindakan yang akan membebankan rakyat?

No comments:

Post a Comment